Monday, May 24

Nilai Persahabatan


Biar tidak ada wang, jangan tidak ada sahabat. Biar kehabisan wang, jangan kehabisan sahabat, Biar putus wang, jangan putus sahabat. Sahabat adalah barang yang paling berharga daripada ringgit, dinar dan dirham.

Persahabatan yang diikat antara satu sama lain, hampir-hampir serupa seperti tali hubungan perkahwinan. Ia mengikat perasaan, mengikat fikiran, mengikat masalah, mengikat kebahagiaan hingga dirasakan semua itu adalah milik bersama.

Persahabatan yang sebenar-benarnya adalah yang dapat merasai susah sama-sama susah dan senang sama-sama senang, menang sama-sama menang, kalah sama-sama kalah, pahit-sama-sama pahit dan manis sama-sama manis. Inilah persahabatan yang sejati yang datang dari lubuk hati, yang tumbuh dari hati yang murni.

Kukuhnya perpaduan, lahir daripada tapak persahabatan yang murni. Oleh sebab itu Rasulullah s.a.w mengukuhkan tali persahaban antara sahabat-sahabatnya dengan ikatan yang kuat. Saling bantu membantu di dalam kesenangan dan kesusahan. Pendek kata hubungan persahabatan itu lebih kukuh daripada saudara seibu sekandung. Persahabatan beginilah yang menjadi asas kepada perjuangan Rasulullah s.a.w.

Persahabatan yang padu, kukuh dan kental sebenarnya adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada orang mukmin. Nikmat persahabatan adalah lain daripada nikmat yang lain. Khusyuk adalah nikmat bagi orang yang bersembahyang, berbuka adalah nikmat bagi
orang yang berpuasa, sihat adalah nikmat bagi orang yang sakit. Nikmat persahabatan adalah berlainan. Ianya berada dibawah nikmat Iman. Tidak dianggap seseorang itu beriman sekiranya dia tidak mengasihi sahabatnya sebagaimana dia mengasihi dirinya.

Iman adalah nikmat yang paling tinggi yang boleh di capai dalam perhubungan manusia dengan Allah s.w.t. Manakala persahabatan adalah nikmat yang paling tinggi yang dapat dicapai dalam perhubungan manusia sesama manusia.Orang yang telah mendapat nikmat Iman tidak akan berpatah balik ke belakang walaupun dicampak di dalam unggun api yang membara.

Orang yang telah mendapat nikmat persahabatan , nikmat ukhwah, nikmat persaudaraan tidak akan dapat dipisahkan oleh benua dan negara, tidak akan dapat dipisahkan walaupun dihasut dan difitnah. Ia padu lebih padu daripada besi waja, lebih padu daripada batu pejal. Ia seperti air, ditetak tidak akan putus, dicincang tidak akan berkecai, dihempas tidak akan pecah.Kalau dipisah pun ia akan bersatu semula. Lihat tabiat air, ia boleh berada dimana-mana tetapi akan kembali bersatu. Bila di udara ia sebagai awan, apabila berada di bumi ia sebagai air yang meresap kedalam tanah.

Ia berhubung tetapi masing-masing berada di tempat yang berlainan dan mempunyai berbagai-bagai wajah. Demikianlah persahabatan itu. Dia adalah satu, satu jiwa, satu perasaan, satu cita-cita tetapi di dalam jasad yang berlainan. Kerana itu Rasul mengingatkan betapa pentingnya ukhwah dan persaudaraan. Persahabatan dan

kasih mesra itu lebih beharga daripada harta, pangkat, kedudukan dan kemasyhuran. Bahkan didalam kubur juga ditanya :"Man Ikhwanuka" ertinya siapakan saudara kamu, dan dijawab "Al Mukminun Ikhwani" ertinya orang mukmin itu adalah sahabat saya.

Hakikat persaudaraan dan persahabatan itu hanya dapat dibina oleh orang yang beriman sahaja. Firman Allah s.w.t di dalam Al Quran:

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara." (Al Hujurat: 10) Bertitik tolak dari imanlah persahabatan yang sejati itu dapat dibina. Persahabatan yang kukuh itu mempunyai tenaga. Persahabatan yang kukuh itu adalah seperti tenaga yang kuat yang dapat digunakan di dalam segala gerak kerja. Lihatlah bagaimana Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w sehingga berjaya memaparkan satu pekerjaan besar yang mampu mewujudkan negara di zaman kegemilangan Islam.

Nota Telinga; Saya sgt rindukan sahabat2 saya...bila bersama mereka terubatlah rindu pada famili..thanksss semua


No comments:

Post a Comment